Kali ini ana berkesempatan mengikuti Ops Sayangi Remaja buat kali keduanya. Kali pertama pada bulan Februari lalu, ketika Valentine's Day. Sasaran kami kali ini di R&R Lebuhraya BORR Pantai Bersih. Program ini dibawah kelolaan Persatuan Ulama' Pulau Pinang. Ust Hafiz Nordin yang mengetuai program kami semalam mengharapkan program mencegah kemungkaran seperti ini dapat terus diaktifkan di Pualu Pinang.
Di kala sahabat-sahabat lain ramai berada di kampung sempena cuti peristiwa ini, hanya ana dan K.Dila, sahabat Nisa’ Bayan Baru yang dapat turun ke program kali ini. Ramai sahabat-sahabat lain yang turut serta, antaranya sahabat Nisa’ dari kawasan Permatang Pauh, Balik Pulau, sahabat Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) bersama-sama peserta Uzlah Tazkiyyah Ramadhan yang turut diadakan di Pantai Bersih, adik-adik PMI dari USM Induk, USM Transkrian, penduduk berdekatan (dari golongan tua dan juga adik-adik dari sekolah menengah), dan beberapa pihak lagi yang turut memberi kerjasama. Al-hamdulillah, ramai yang dapat turun memberi komitmen walaupun di bulan Ramadhan yang biasanya cenderung untuk berehat selepas sahaja selesai solat terawih. Namun dapat juga semua gagahi merentasi malam sehingga 3-4 pagi.
Ana bersama sahabat Nisa’ dan adik-adik PMI USM bergerak selepas solat terawih di masjid USM. Kami bergerak dengan menaiki dua kereta dan empat motor. Dua orang yang menunggang motosikal tidak memiliki lesen. Mereka terpaksa bawa motosikal kerana ada sedikit masalah pengangkutan. Ana menaiki kereta dan sangat terkejut apabila melihat polis membuat sekatan untuk penunggang motosikal selepas tol sebelum memasuki R&R tempat kami berkumpul. Alamak macam mana dengan adik-adik ana ni.. K.Dila sempat memarahi ana kerana melepaskan mereka yang tiada lesen untuk bawa motosikal. Nak buat macam mana kak, terpaksa..
Namun, Subhanallah.. dan Al-hamdulillah.. yang mampu ana ungkapkan apabila mereka terlepas. Dua orang yang memiliki lesen diperiksa polis, tetapi dua orang yang tidak punyai lesen terlepas. Ana tanya adik-adik,
“Macam mana tadi?”
“Akak, saya tak berhenti selawat dari USM sampai sini.. Polis pertama minta saya ke depan, sampai kat polis kedua pun dia minta saya pergi ke depan, sampai saya terlepas macam tu je kak.”
Al-hamdulillah Allah permudahkan. Ana tersenyum teringat pesanan ana kepada mereka sebelum bertolak,
“Kak macam mana kalau ada polis ye?”
“Jangan lupa bawa lesen T.. (Tawakkal)”
Bukan niat untuk membuat kesalahan jalan raya, tapi keadaan menuntut mengambil sedikit risiko kerana ada sahabat yang perlu kenderaan waktu balik nanti.
Ok, bermula dakwah kami di malam sambutan kemerdekaan ni. Group kami bergerak paling lewat kerana menunggu sahabat Nisa’ dari Permatang Pauh yang sampai agak lambat. Jadi kami mengambil keputusan untuk mengubah modus operandi. Modus operandi asal kami pada awalnya ialah mendekati remaja lelaki dan perempuan yang berdua-duaan. Pihak muslimat akan membawa adik perempuan sedikit jauh dari pasangannya dan kami akan berbual dan menasihatinya. Manakala pihak muslimin akan berada bersama adik lelaki untuk berbual-bual dan menasihatinya. Kami akan cuba berkongsi masalah mereka, memberi nasihat tentang salahnya perbuatan berdua-duaan itu, kita cuba memberi nasihat ke arah mendirikan rumah tangga untuk mengelakkan berlakunya zina dan beberapa perkongsian lain. Semoga Allah mengetuk hati mereka dengan sedikit kesedaran. Mungkin itu boleh menjadi titik tolak kepada suatu perubahan dalam hidup mereka. Sekurang-kurangnya terdetik di hati mereka untuk menjaga kesucian Ramadhan ini dengan peringatan yang kami sampaikan. Hidayah milik Allah. Kami hanya mampu berkongsi dan menyampaikan sedikit ilmu yang ada ini untuk kebaikan bersama. Mungkin mereka tidak tahu. Semoga Allah memberi mereka hidayah.
Modus operandi baru kami ialah mendekati remaja sekolah. Mat-mat rempit sibuk di bahagian hadapan R&R dengan group masing-masing, manakala di belakang R&R pula, adik-adik sekolah sibuk beraksi dengan basikal masing-masing. Ada juga yang bersama basikal tua. Kesimpulannya, macam-macam ada.. Group mereka ramai, sekitar 20-30 orang. Mereka agak terkejut dengan kehadiran kami.. Kerana sebelum ini mereka hanya melihat group-group seperti kami hanya mendekati pasangan lelaki dan perempuan yang berdua-duaan. Kami hadir dengan sapaan yang mesra dari kakak dan abang kepada adik-adik.
Permulaan perbualan kami adik-adik ini agak banyak berdalih dan bercakap bohong.
“Malam ni je kak kami datang lepak-lepak kat sini..sambut merdeka.”
“Mak ayah tahu tak ni?”
“Kami bagitahu mereka kak.”
“Kami solat terawih dulu kak sebelum datang sini.”
“Kami puasa kak.”
“Kami tak merokok kak.”
Inilah antara ringkasan jawapan adik-adik kepada persoalan awal kami. Namun setelah agak lama berborak mereka agak lebih telus.
“Kau mana ada solat.”
“Kalau solat tak jadilah macam ni. Mesti jadi budak baik.”
Mereka tahu semuanya. Sedihkan..Kalau antum di tempat ana, pasti sangat sedih melihat bakal genarasi pelapis negara kita. “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara aman makmur, tetapi jika keadaan sebaliknya bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” Daripada Dr Yusuf Al-Qardawi.
Permulaan kami sampai, mereka mengagak kami ini sebagai pelajar Mesir.. Hurm agaknya pada pandangan mereka hanya pelajar Mesirlah yang bertudung labuh, berkopiah. Ana tidak segan untuk mengaku ana dari USM datang untuk membuat kajian tentang adik-adik remaja sekarang. Bukan untuk berlagak, tapi hakikatnya untuk memacakkan motivasi kepada mereka untuk mengikut jejak kami.
Antara persoalan dari seorang adik yang kelihatan agak baik di kalangan mereka,
“Akak betul ke hisap rokok di bulan Ramadhan ni makruh?”
Ana menjawab persoalan itu dengan jawapan yang ringkas tanpa banyak penerangan, bahawa hisap rokok akan membatalkan puasa.
Ana dapat mengagak, ada rakan mereka cuba mempengaruhinya untuk hisap rokok di bulan Ramadhan dengan alasan merokok hanya makruh dan tidak membatalkan puasa.
“Akak, batal tak puasa kalau kita tidur dari pagi sampai waktu berbuka?”
“Habis tu adik tak solat Zohor dan Asar ye?”
Akhirnya mereka terperangkap dalam persoalan mereka sendiri.
Group kedua yang kami temui, adik-adik dari Serdang, Kedah. Biasanya adik-adik yang agak baik akan melayan persoalan kami, dan yang lain akan cuba mengelak atau bergerak jauh dari kami.
“Dik, buat apa kat sini?”
“Datang tengok-tengok orang kak.. Bosan la tiap-tiap hari asyik dok tengok lembu je kat Serdang tu..”
Ana terus fokus kepada adik-adik yang kelihatan seperti budak sekolah.
“Tingkatan berapa ni?”
“Tingkatan empat.”
Adik kali ini agak jujur menjawab, termasuk memberitahu namanya, dan mengaku dia merokok.
“Kami akan pakat duit untuk beli rokok. Satu kotak dapat la kongsi empat batang sorang.”
“Untuk sehari ye dik?”
“Ye..”
“Ayah tahu tak?”
“Tak.”
“Ayah kerja apa?”
“Pesara askar, sekarang jadi polis bantuan.”
Itulah antara perbualan kami dengan adik-adik yang datang menyambut kemerdekaan bagi mereka. Merdekakah mereka? Ya Allah, betapa kuatnya pengaruh rakan sebaya di sekolah.. Di sinilah pentingnya para ibu bapa menitik beratkan pendidikan anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan. Al-hamdulillah ibu bapa kita menempatkan kita di sekolah yang baik, kita dikurniakan Allah rakan-rakan yang baik.. Bersyukurlah dengan nikmat Iman dan nikmat Islam yang kita miliki. Mungkin adik-adik ini tidak bernasib baik kerana terjebak dengan masalah sosial ini. Jadi, tanggungjawab kita lah sebagai orang yang berkesadaran untuk membantu mereka sekadar yang mampu.
Semoga perkongsian yang sedikit ini mampu dimanfaatkan semua.
Tuesday, September 1, 2009
Sambutan MERDEKA & Ops Sayangi Remaja
Labels:
Perkongsian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Assalamua'laikum wbt.
Alhamdulillah dan tahniah di atas usaha murni Zura dan rakan-rakan. Harap kita semua dapat mencontohi usaha ini secara langsung ataupun tidak langsung demi mengembalikan remaja kita kepada landasan yang sepatutnya...insyaAllah.
Wassalam.
Terima kasih kak.. Insya-Allah program-program akan datang zura akan ajak sahabat-sahabat MISDEV sekali. Bila kita bergerak ramai-ramai ni baru ada kekuatan..Insya-Allah kita akan ada program-program mengajak ke arah perkara ma'ruf pula nanti. Teringat kata-kata Dr Hasanah td, 'Jika kita ingin menjadi orang yang mensyukuri nikmat Allah, kita kena dekat dengan orang yang tidak miliki nikmat itu'.Dan satu hadis yang di sebut tadi, 'Tidak sempurna iman seseorang itu,melainkan dia mengasihi orang lain sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri'. Peringatan untuk diri ana juga.
Salam...
ana salah seorang peserta Uzlah Tazkiyyah yang turut hadir pada malam tersebut..
ini merupakan kali pertama ana bersama-sama dalam program seprti ini
alhamdlillah...masih ramai yang merasakan ini adalah tanggungjawab kita bersama dalam membanteras gejala sosial dikalangan muda-mudi kita.
Ana kagum dengan kehadiran mahasiswa USM yang turut serta pada malam tersebut.
Tahniah ana ucapkan..
semoga ana mampu melakukan perkara yang sama di tempat ana UPSI.
dan diberikan kekuatan melaksanakan program seperti ini...
Post a Comment