Musafir seminggu ke Medan dengan rombongan ISDEV memberi banyak ilmu baru kepada diri. Sangat seronok sebenarnya menuntut ilmu dengan bermusafir, dengan syarat mata hendaklah sentiasa memerhati, akal hendaklah sentiasa berfikir, dan hati hendaklah sentiasa berzikir menghubungkan ilmu dengan Allah. Insya-Allah kita akan dapat mesej atau pengajaran yang Allah ingin sampaikan kepada kita melalui ilmu tersebut.
Hampir seminggu di Medan mengajar erti bersyukur kepada diri. Melihat susah payah mereka berniaga dan bekerja untuk mendapatkan rezeki dan juga persekitaran hidup mereka. Namun mereka rajin berusaha. Seperti peringatan yang sentiasa kita dengar, untuk mendidik rasa syukur dalam diri, lihatlah orang yang lebih rendah taraf hidupnya berbanding kita, orang yang lebih susah hidupnya berbanding kita, orang yang serba kekurangan hidupnya berbanding kita, barulah kita dapat mendidik diri untuk berasa cukup dan sangat bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, Insya-Allah. Sentiasalah terbitkan rasa syukur dalam hati, dan terjemahlah dengan perbuatan, semoga dengan ingatnya kita untuk bersyukur, Allah akan melipatgandakan lagi nikmatNya.
Antara suasana di Medan
Sepanjang di Medan kami cuba praktikkan sujud syukur sebaik sahaja selesai solat fardhu secara berjemaah. Inilah tradisi di ISDEV, untuk membangunkan ilmu Pengurusan Pembangunan Islam, perkara pertama yang dibuat adalah cuba membangunkan Islam di dalam diri setiap pelajar dan pensyarahnya terlebih dahulu (manusia sebagai pelaku pembangunan). Selain daripada nasyid Asma Ul-Husna dan tazkirah dijadikan amalan sebelum memulakan kelas atau program, kami juga digalakkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis dan membiasakan diri sujud syukur selepas solat fardhu.
Ini adalah sebagai aplikasi salah satu prinsip pembangunan Islam iaitu ibadah sebagai pengkaedahan pembangunan. Jadi, ISDEV cuba membangunkan diri ahli-ahlinya dengan galakan melaksanakan ibadah wajib secara berjemaah ditambah dengan amalan sunat. Sebagaimana yang disebut di dalam hadis qudsi bahawa amalan sunat akan menambahkan kecintaan Allah kepada pelakunya, dan menurut Prof Muhammad Syukri Salleh dalam buku beliau, 7 Prinsip Pembangunan Islam, pelaksanaan ibadah wajib dan ibadah sunat akan menyuburkan hubungan antara manusia dengan pencipta (Allah) iaitu habluminallah. Dengan itu kesedaran kehambaan kepada Allah (ubudiah) akan sentiasa subur dalam diri manusia.
Selain itu, melalui perkongsian Prof. Dr. Imam Suprayogo dalam seminar antarangsa yang diadakan dan juga tazkirah yang di sampaikan oleh Dr. Sukiman, diri berasa lebih termotivasi untuk mengamalkan tiga perkara apabila pulang ke Malaysia.
Pertama ialah, menghafal, menghayati dan mengamalkan doa melalui Asma Ul-Husna. Sebelum ini, penghayatan terhadap sifat-sifat Allah melalui Asma Ul-Husna masih lagi kurang. Sedangkan di dalamnya terdapat 99 sifat Allah yang perlu kita hubungkan dalam diri setiap hari, setiap detik. Dengan itu, pergantungan kita kepada Allah akan lebih tinggi dan keimanan kita kepada Allah akan meningkat, Insya-Allah. Sebelum ini, Asma Ul-Husna hanya dihafal dan tidak difahami kesuluruhan maksudnya, mungkin kerana bahasa Arab ana masih lagi lemah.
Jadi, perkara kedua yang ingin ana amalkan ialah meningkatkan penguasaan Bahasa Arab. Bukan sahaja kerana Asma Ul-Husna dalam Bahasa Arab, malah untuk memahami dan mentadabbur Al-Quran juga perlunya ana memahami Bahasa Arab. Inilah yang memotivasikan diri untuk menambahkan penguasaan Bahasa Arab.
Manakala, perkara ketiga yang ingin ana amalkan ialah menambahkan penghafalan Al-Quran, kerana Al-Quran adalah panduan kepada hidup kita. Secara logiknya, jika kita tidak memahami atau lupa panduan untuk menggunakan sesuatu alatan, semestinya kita akan gagal untuk mengendalikan alatan tersebut dengan baik. Begitu jugalah kehidupan kita. Ana petik kata-kata hikmah yang menyatakan ilmu itu letaknya di dalam hati bukan pada helaian-helaian (Al- ilmu fi sudur laisa fi sutur). Ana sebenarnya cukup kagum dengan penguasaan Al-Quran oleh Dr Miftah dan juga sahabat-sahabat lain yang telah mencapai hafiz dan hafizah. Ana sebenarnya berasa "iri hati" dengan mereka.
Sememangnya dalam ibadah kita perlu melihat orang yang lebih baik amal dan ilmunya, supaya kita lebih bersemangat untuk terus meningkatkan amal ibadah kita. Semoga dengan suburnya ilmu-ilmu Allah ini di dalam dada, diharapkan dapat mencapai amaliah ibadah yang lebih baik, Insya-Allah.
Ya Allah..Berikanlah aku kekuatan dan istiqomah untuk mengamalkan ilmu yang telah Kau anugerahi ini.. Amin..
Hari pertama di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU),
setiap warga ISDEV membentangkan kertas kerja masing-masing
Hari kedua dan ketiga kami di Universitas
Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), diisi dengan seminar
Jamuan makan sepanjang di Medan
Dua hari kami di Danau Toba
0 comments:
Post a Comment