Monday, August 10, 2009

HATI KITA UNTUK SIAPA?


“Hari-hari kita makan, belajar, bergaul dan melakukan bermacam-macam aktiviti hidup. Hakikatnya kita sedang menghabiskan masa umur yang telah ditetapkan tempohnya oleh Tuhan. Kita perlukan rezeki yang berkat, umur yang berkat, kesihatan yang berkat, dan kejayaan yang berkat.”


“Seperti juga rezeki. Berkat bukan pada banyak atau sedikitnya. Tapi bila sedikit ia mencukupi, bila banyak pula boleh dibelanjakan pada jalan yang baik dan betul. Umur juga begitu, tak semestinya panjang, tetapi dapat dimanfaatkan untuk melakukan kerja-kerja yang baik. Ramai ulama’ dan tokoh Islam umurnya tak panjang, tetapi jasanya seolah-olah dia hidup beribu-ribu tahun.”


“Tapi macam mana kita nak dapat berkat?”

“Akrab dengan pemberi berkat.”


“Caranya, hati kita perlu diberikan kepada Tuhan. Ingatan, fikiran, harapan, kecintaan, ketakutan, kekaguman, itulah yang perlu diserahkan kepada Tuhan!”

“Jadi solat, puasa dan lain-lain rukun Islam yang kita amalkan selama ini hakikatnya adalah satu mekanisme hubungan kita dengan Tuhan bagi mendapat keberkatan buat mencapai tujuan hidup.”


Berkat itu saadah atau ketenangan, ia kejayaan atau al-falah, ia juga kepuasan atau qanaah.


Dipetik dari Nota Hati Seorang Lelaki, Pahrol Mohd Juoi.


Dalam kita ingin mencari Radha Illahi, isu keberkatan ini perlu kita titik beratkan. Kita perlu usahakannya. Dari sudut rezeki, kita perlu titik beratkan sumbernya. Pastikan sumber rezeki kita melalui usaha yang halal dan bersih. Kadang-kadang rezeki kita bercampur dengan yang haram, mungkin disebabkan kita tercuri sedikit masa kerja untuk kerja peribadi dan lain-lain yang mungkin kita terlepas pandang atau kita anggap ianya suatu yang remeh. Disebabkan itulah kita diwajibkan membayar zakat. Salah satu hikmahnya ialah untuk membersihkan rezeki kita dari suatu yang haram yang tidak disengajakan.


Dari sudut umur, kita cuba pastikan masa kita tidak dibazirkan dengan sesuatu yang sia-sia. Gunakanlah sebaik mungkin usia kita untuk menuntut ilmu fardhu ain, fardhu kifayah dalam usaha meningkatkan lagi kecintaan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Manfaatkanlah masa kita untuk membantu agama Allah dan melakukan kebaikan, dari sudut mana yang kita mampu. Mungkin penulisan, program kebajikan, dakwah, motivasi dan lain-lain.


Andai kita lakukan ikhlas kerana Allah dan kita titik beratkan pandangan Allah untuk setiap apa yang kita lakukan, Insya-Allah keberkatan itu akan menyusul. Sama-samalah kita usahakan dan doakan.


“Ya Allah Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon kepada Mu keselamatan dari segi agama dan kesihatan pada jasad, pertambahan ilmu pengetahuan, keberkatan rezeki, taubat sebelum mati, rahmat ketika mati, keampunan setelah mati, ya Alllah ringankanlah ke atas kami semasa mabuk mati, lepaskanlah kami dari api neraka dan kemaafan ketika dilaksanakan perhitungan.”

Amin..

0 comments: