Friday, August 28, 2009

Ibu Memberi Bukan Untuk Menerima

Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat, namun padat dan menyentuh. Tuan Syed (begitu panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan seakan-akan berbual ringan.
“Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?”
“Semua ibu istimewa.”
“Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed. Ya, semua ibu istimewa, tapi keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?” pinta saya seakan merayu.

“Saya ingat...” Tuan Syed mula bercerita, “Satu hari semasa umi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah ummi menuruni tangga.”
Saya mendengar penuh minat.
“Tiba-tiba ummi berkata, ummi risau, kalau ummi meninggal nanti siapa yang akan doakan kamu!” Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, “Kalau ummi meninggal nanti, siapalah di antara anak-anak ummi yang nak doakan ummi. Jangan lupa doakan ummi ya?” Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya, dia bimbang kalau tidak dapat “memberi”, manakala saya bimbang kalau tidak dapat “menerima”.
“Apa kesan daripada kata-kata ibu kepada Tuan Syed?” cungkil saya.

“Semenjak itu hingga kini, selepas 5 tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya.”
Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya terpukul. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu selepas solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah, Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!


Dipetik dari buku Nota Hati Seorang Lelaki, Pahrol Mohd Juoi.

Pesanan buat diri dan juga sahabat-sahabat, janganlah kita lupa untuk mendoakan ibu bapa masing-masing. Dengan berkat kasih sayang, didikan dan doa mereka, kita telah sampai ke tahap ini. Kadang-kadang disebabkan terlalu sibuk, kita agak lama tidak menghubungi ibu. Hurm..kesian kat ayah dan ma..


“Ya Tuhan kami, ampunilah segala dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, serta kasihanilah ibu dan bapaku sebagaimana mereka mengasihaniku pada masa masih kecil.”
Amin..

0 comments: